Channel News Asia melaporkan, ketika ini kawasan zon selamat yang mempunyai keluasan sebuah daerah belum lagi dina­makan.

Kewujudan ‘Zon selamat’ itu dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada wakil kerajaan, Mara Patani serta beberapa pemimpin setempat.

Rangka kerja zon selamat itu juga tidak melibatkan perjanjian gencatan senjata, bermakna sebarang insiden keganasan boleh menyebabkan menjejaskan persefahaman antara kedua-dua pihak.

Bagi kerajaan Thailand, zon ber­kenaan akan menguji ke­upayaan Mara Patani mengendali dan mengawal kawasan berkenaan.

Sementara itu, Mara Patani percaya kewujudan ‘zon selamat’ akan memberi ruang kepada kebebasan berpolitik kerana penduduk tempatan boleh bersua­ra tanpa dibayangi rasa takut.

“Kami tahu bagaimana struktur pentadbiran kerajaan Thailand. Keputusan biasanya datang daripada Pusat (Bangkok) dan bukannya ‘akar umbi’,” kata jurucakap kumpulan itu, Hafez Al-Hakim.

Bagi Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), Supanat Sirantawineti, kewujudan ‘zon selamat’ itu akan menjadi model kepada pembangunan di kawasan lain.

“Matlamat kami ialah mahu melihat penduduk setempat mengambil bahagian dan memahami proses rundingan damai yang berlangsung di Malaysia ketika ini,” kata Supanat.

Dalam perkembangan bera­singan, kerajaan Thailand menafikan mengeluarkan memo keselamatan yang mendakwa kemungkinan berlakunya serangan di tiga buah lokasi tumpuan pelancong iaitu Phuket, Phang Nga dan Krabi.

“Tidak ada (sebarang memo keselamatan) dikeluarkan,” kata Timbalan Perdana Menteri, Je­neral Prawit Wongsuwan kepada media tempatan hari ini.

Kelmarin, Gabenor Phuket, Norraphat Plodthong mengarahkan kawalan keselamatan ditingkatkan di beberapa buah lokasi tertentu di pulau itu selain memasang lebih banyak kamera ke­selamatan.

Langkah yang sama dilaporkan turut diambil oleh pihak berkuasa tempatan di Krabi. –AGENSI/BERNAMA