Menurut Industri dan Sains Aero­angkasa China, tren terbang itu akan mempunyai kelajuan 4,023 kilometer per jam.

Mail Online melaporkan, di bawah pelan pembinaan yang dicadangkan, kapsul tren tersebut akan terbang di dalam tiub yang mempunyai tekanan udara rendah.

Bagaimanapun, cadangan untuk memba­ngunkan tren tersebut mendapat reaksi negatif daripada pakar pe­ngangkutan dan pengguna internet di China.

Prof. Zhao Jian dari Universiti Pengangkutan Beijing berkata, tubuh manusia berkemungkinan tidak dapat menampung kelajuan tren berkenaan.

Jelasnya, manusia hanya boleh berdepan dengan kelajuan maksimum dalam tempoh pendek.

Seorang pengguna laman sosial Weibo menerusi status yang dimuat naiknya pula meminta kerajaan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas terlebih dahulu sebelum membangunkan tren terbang.

Syarikat berkenaan bagaimanapun menegaskan bahawa pihak­nya yakin cadangan tersebut dapat dilaksanakan berikutan pengalaman dan kemampuan yang mereka ada dalam sektor teknologi, simulasi dan menguruskan ba­nyak projek besar.

Jika dilaksanakan, tren tersebut akan menyaingi konsep Hyperloop iaitu tren tanpa roda dan digerakkan oleh udara pada kelajuan 1,126 kilometer sejam yang diper­kenalkan oleh jurutera Elon Musk.