Ironinya, peranti yang me­lakukan tugas itu adalah robot yang tidak mempunyai anggota badan seperti tangan dan kaki, sebaliknya lebih menyerupai bentuk seekor ular.

Menurut BBC, alternatif itu yang pada awalnya adalah projek robotik universiti penyelidikan di Norway sekitar 10 tahun lalu kini menjadi prototaip komersial dan sedang diuji di pelantar minyak.

Peranti yang berbentuk tiub dinamakan sebagai Eelume itu agak fleksibel dan mampu bergerak sendiri selain dilengkapi kamera dan sensor pada bahagian ‘kepala dan ekor’ robot berkenaan.

Setiap bahagian peranti tersebut mampu menjalankan pelbagai tugas berbeza antaranya memutar suis dan memberus termasuk beroperasi di struktur sempit yang tidak mampu dilakukan oleh peralatan lain.

Malah, Eelume dapat berope­rasi semasa arus kuat dan mampu digerakkan pada pelbagai masa tanpa mengira faktor cuaca di permukaan.

“Kami cuba mengelak menamakan peranti itu dengan perkataan ular yang agak menakutkan,” kata jurucakap syarikat teknologi marin Kongsberg, Richard Mills.

Peranti itu masih belum dipasarkan, namun Eelume telah dipamerkan dalam ekspo perdagangan, Southampton’s Ocean Business.

Sementara itu, perancangan masa depan Kongsberg antara lain memasukkan model cetakan tiga dimensi yang boleh berope­rasi pada laut dalam.

“Ini antara lain meneroka ke dalam bangkai Titanic yang tidak dapat dilakukan oleh penyelam sekali gus menjadi peluang yang baik untuk kita melihat masa akan datang,” kata Mills.