Abdel Fattah bagaimanapun pada masa yang sama berikrar akan memberi sokongan kepada Arab Saudi dalam menghadapi persengke­taan dengan Iran.

Ditanya tentang prospek se­ra­ngan terhadap Iran dan Hezbollah, dua hari selepas Arab Saudi menuduh Lebanon mengisytiharkan perang kerana ‘tindakan agresif’ Hezbollah, Sisi menegaskan tentang kepenti­ngan untuk ‘mengurangkan’ tin­da­kan itu.

“Saya sentiasa menentang pe­perangan,” katanya tanpa men­jelaskan pihak yang berkemungkinan terlibat dalam tindakan ketenteraan itu.

Baru-baru ini Arab Saudi menggesa sekatan terhadap kumpulan Hezbollah dan menuduh Iran membekalkan peluru berpandu kepada kumpulan pemberontak Huthi di Yemen yang menyasarkan negaranya.

Sisi juga menegaskan sekali lagi bahawa keselamatan rantau Teluk merupakan keselamatan Mesir dan meletakkan keyakinan terhadap kepemimpinan Arab Saudi.

Beliau juga berkata, situasi di Arab Saudi adalah ‘stabil dan terjamin’ ekoran isu penahanan kira-kira 11 putera diraja, bekas menteri dan menteri dan ahli perniagaan yang dituduh terlibat dalam kegiatan rasuah.

Pemimpin itu berkata, soko­ngannya tidak berbelah-bahagi kepada Arab Saudi dan negara-negara Teluk yang telah memberi bantuan kepada Mesir sejak krisis bekas Presiden Mesir, Mohamed Mursi pada tahun 2013.

Lebanon kini menjadi tumpuan pertikaian rantau Teluk yang membabitkan Arab Saudi dan Iran sejak Perdana Mente­ri­nya, Saad al-Hariri meletak ja­watan pada Sabtu lalu dan menyalahkan Iran dan Hezbollah berikutan keputusannya itu.

Hezbollah merupakan pertubuhan gabungan tentera dan politik yang mewakili Parlimen Lebanon dan merupakan kerajaan pakatan yang dibentuk oleh Hariri. – REUTERS