Menurut saintis, komputer ber­kenaan mampu membaca fikiran pesakit untuk memberi jawapan asas iaitu ‘ya’ atau ‘tidak’.

Berdasarkan hasil kajian, seorang pesakit lelaki didapati ber­ulang kali memberi jawapan ‘tidak’ ketika anak perempuannya meminta izin untuk berkahwin.

Kajian terhadap empat pesakit di Switzerland yang disiarkan dalam PLOS Biology turut menunjukkan mereka gembira dengan penciptaan komputer itu walaupun menghidap LIS.

Portal BBC melaporkan, ke­semua pesakit itu yang terlibat dalam kajian di Pusat Wyss, Switzerland merupakan pesakit LIS sepenuhnya termasuk mereka yang tidak mampu menggerakkan mata masing-masing.

Secara saintifik, aktiviti sel otak mampu menukar tahap oksigen dalam darah yang kemudian menukar warna darah berkenaan.

Para saintis, kemudiannya meneliti di dalam otak manusia menggunakan cahaya untuk mengesan warna darah.

Mereka kemudian menanyakan kepada pesakit soalan-soalan yang hanya memerlukan jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’.

Antara soalan itu terma­suk nama ahli keluarga bagi mela­tih komputer mentafsir isyarat otak.

Berdasarkan kajian, sistem itu mencapai ke­tepatan ja­wapan hampir 75 peratus tetapi setiap soalan perlu ditanya berulang kali.

Salah seorang penyelidik, Profesor Ujwal Chaudhary membe­ritahu BBC, penemuan itu memberi peru­bahan yang besar terhadap kualiti kehidupan pesakit.

“Bayangkan jika anda tidak mempunyai cara untuk berkomunikasi dan tiba-tiba anda mampu memberi jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’, ini merupakan kesan yang besar,’’ katanya.

Komunikasi menggunakan komputer itu digunakan untuk menentukan sama ada pesakit mengalami kesakitan atau mahukan keluarga mereka melawat.