Jabatan Kehakiman Abu Dhabi dalam satu kenyataan menjelaskan, mereka telah melanggar pe­rintah awam dan menggunakan laman media sosial untuk mempromosikan amalan yang tidak sesuai dengan nilai-nilai dan tradisi masyarakat.

Menurut portal berita Gulf News, tiga hari lalu, hashtag #Keke mula popular di laman rangkaian­ media sosial apabila ramai mula memuat naik rakaman menyerupai video muzik penyanyi Kanada, Drake menerusi lagunya In My Feelings.

Idea di sebalik cabaran Kiki atau ‘Keke Challenge’ itu adalah untuk meninggalkan kereta, membuka pintu dan menari di jalan sementara kenderaan masih bergerak.

Pihak pendakwaan berkata, penyertaan dalam cabaran itu merupakan satu jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara atau denda di bawah Kanun Keseksaan Persekutuan dan Undang-undang No. 21 tahun 1995 undang-undang trafik.

Pihak berkuasa menegaskan tindakan meninggalkan kereta yang masih bergerak dengan membiar­kan pintu terbuka dan menari di jalan awam di sebelah kereta tersebut me­nimbulkan bahaya kepada diri sendiri dan pe­ng­guna jalan lain.

Oleh itu, pegawai Jabatan Kehakiman mempunyai hak untuk menangkap mana-mana individu yang dikesan melakukan cabaran itu dan mengarahkan selebriti laman sosial untuk me­nunjukkan rasa tanggungjawab terhadap kanak-kanak serta masyarakat.

Selain pihak berkuasa di Abu Dhabi dan Dubai, beberapa negara lain turut memberi amaran supaya tidak menyertai cabaran tarian dalam talian yang semakin popular di media sosial kini.

Antaranya Kementerian Dalam Negeri Mesir yang menegaskan tindakan melakukan cabaran itu melanggar undang-undang lalu lintas negara yang membawa kepada hukuman penjara selama setahun.

Sesetengah penduduk Mesir telah mengubah suai ca­baran itu dengan me­nari lagu-lagu Arab dan ramai pengguna didapati ghairah memuat naik video mereka, rakan-rakan atau saudara-mara yang me­lakukan cabaran ter­sebut di kawasan jalan raya berbeza di seluruh negara.

Cabaran itu turut dilakukan oleh selebriti Mesir termasuk pelakon Dina El-Sherbini, Yasmin Raies dan Dorra Zarrouk serta penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan, Essam El-Hadary.

“Perkara 81 undang-undang lalu lintas menetapkan penalti satu tahun penjara dan denda antara 1,000 hingga 3,000 pound Mesir (RM227 hingga RM681) bagi sesiapa yang menghalang trafik atau membahayakan nya­wa orang lain,” kata pegawai kementerian tersebut, Magdy El-Shahed kepada saluran berita CBC Extra.