“Mereka yang menjalankan perniagaan dengan Iran tidak boleh berniaga dengan AS,” kata beliau dalam tweetnya.

Sesetengah sekatan yang di­kenakan semula telahpun ber­kuatkuasa semalaman tetapi bagi eksport minyak, ia akan bermula pada November.

Di Iran, negara itu menyifatkan tindakan AS melaksanakan semula sekatan penuh ke atas Iran sebagai ‘perang psikologi’.

Sekatan negara kuasa besar dunia ke atas Iran disasarkan kepada sektor automotif Iran, urus niaga emas, perbankan, minyak mentah serta keluli.

Presiden Iran, Hassan Rouhani berkata, berunding dengan cara mengenakan sekatan adalah langsung tidak masuk akal.

“Kami sentiasa bersedia me­ngadakan diplomasi dan perbincangan, tetapi perbincangan memerlukan kejujuran,” katanya.

Langkah ini merupakan susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) membatalkan persetujuan Perjanjian Nuklear 2015 pada Mei lalu.

Sebelum ini, Presiden AS, Do­nald Trump memberi amaran yang pihak yang cuba mencabul sekatan itu berdepan risiko kesan buruk.

Trumph yakin, tekanan ekonomi akan membuat Iran bersetuju dengan satu perjanjian baharu untuk menamatkan program nuklearnya.

Menteri-menteri Luar United Kingdom, Perancis dan Jerman antara negara-negara yang me­meterai perjanjian nuklear bersama Rusia dan China, mengeluarkan kenyataan menyatakan kekesalan mereka terhadap sekatan Washington itu.

Mereka menyatakan perjanjian itu kekal penting kepada keselamatan sejagat.

Hassan juga mendakwa Trumph cuba menggunakan Iran sebagai bahan politik domestik menje­lang pilihan raya Amerika Syarikat pertengahan November ini.

Sebelum ini dalam satu wa­wancara beliau memberitahu, AS akan menyesal kerana mengenakan sekatan ke atas Iran.