Perkembangan ini adalah berdasarkan kepada kejadian suspek kumpulan pemisah menyerbu sebuah premis pengedar kereta di selatan Thailand, sekali gus memaksa kawalan polis diketatkan ke tahap maksimum.

“Kami tahu nama kumpulan bertanggungjawab dalam insiden ini, ia merupakan sebuah kumpulan baharu terdiri daripada generasi muda,” kata Ketua Polis Wilayah 9, Leftenan Jeneral Polis, Sakorn Thongmanee.

Pihak berkuasa telah me­ngarahkan semua kenderaan yang memasuki bandar di selatan Thailand supaya diperiksa termasuk motosikal.

Dalam kejadian berkenaan, polis Thailand berkata, sekumpulan lelaki bertindak memasuki sebuah kedai menjual kereta di wilayah Songkhla berhampiran sempadan dengan Malaysia dan melarikan kira-kira enam buah trak pikap.

Menurut portal Thai PBS, sebuah daripada kenderaan itu meletup di sebatang jalan di kawasan pedalaman berhampiran sempadan wilayah Pattani, mencetuskan insiden berbalas tembak dan mencederakan empat anggota tentera.

Menurut Bangkok Post, bom kereta kedua meletup hari ini berhampiran kediaman polis di daerah Mayo, Pattani dan merosakkan kira-kira 10 buah rumah.

Jelas polis, seorang pekerja pengedar kereta yang dijadikan sebagai tebusan ditembak mati oleh suspek.

Seorang daripada suspek turut terbunuh dalam keganasan itu.

Pemberontakan selama puluhan tahun di wilayah selatan mengakibatkan lebih daripada 6,600 orang terbunuh sejak pe­ningkatan keganasan pada tahun 2004.

Sementara itu, pemerhati dan kum­pulan pe­man­tau wilayah selatan men­dakwa mereka melihat isyarat kegelisahan dalam kalangan ge­nerasi muda pemisah.

“Ini mungkin mengubah taktik serangan mereka kerana pada masa lalu pihak berkuasa telah menindas kumpulan pemisah dengan ketara,” kata jurucakap pertubuhan Deep South Watch, Srisompop Jitpiromsri. – AGENSI