Menurut portal berita The Straits Times, anehnya wanita yang enggan dikenali dan berusia dalam lingkungan 50 tahun itu mengakui, dia memiliki rumah pangsa tiga bilik di Tampines tetapi telah menyewakannya sejak lapan tahun lalu kerana memilih untuk tinggal di lapangan terbang itu.

Menurut media tempatan, wanita yang sentiasa membawa sebuah troli penuh dengan baju, makanan dan barang ke­perluan harian menganggap lapangan terbang berkenaan merupakan kawasan paling selesa untuk didiami kerana mempunyai pasar raya, bilik mandi, penghawa dingin dan Wi-fi percuma.

Wanita itu mengakui menjadi mangsa krisis kewangan pada tahun 2008 apabila berdepan dengan masalah kewangan.

Hasrat beliau yang pada mulanya hanya mahu menetap di situ beberapa hari sahaja, ak­hirnya berterusan sehingga lapan tahun.

Akhbar Lianhe Wanbao me­la­por­kan, wanita berkenaan adalah antara lebih 10 individu yang dipercayai telah menjadikan lapangan terbang itu sebagai ‘kediaman’ mereka.

“Kami akan bekerjasama dengan agensi-agensi seperti Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga serta Pusat Khidmat Keluarga untuk mencari cara terbaik bagi membantu mereka yang cuba mencari perlindungan di kawasan ini,” kata pihak pengurusan lapangan terbang itu dalam satu kenyataan.

Dua tahun lalu, sepasang suami isteri mendapat perhatian media tempatan negara itu selepas dikesan menetap di lapangan terbang selama beberapa bulan kerana mengalami masalah keluarga.