Polis memberi amaran bahawa jumlah kematian mungkin meningkat ketika pasukan penyelamat termasuk tentera berdepan masalah untuk sampai ke kawasan terpencil yang turut terjejas akibat bencana itu.

Ketua Jabatan Pengurusan Bencana Bangladesh, Reaz Ahmed berkata, kerja-kerja mencari dan menyelamat masih dijalankan ketika ini meskipun berdepan masalah telekomunikasi dan pengangkutan yang terputus.

“Kami hanya akan mendapat gambaran sebenar mengenai kerosakan dan kemusnahan yang berlaku akibat bencana ini sebaik sahaja hujan reda sepenuhnya,” kata Reaz.

Ketika ini, kawasan yang pa­ling teruk terjejas ialah Rangamati yang terletak berhampiran sempadan India apabila 35 orang dilaporkan terbunuh akibat tanah runtuh.

Ketua Polis Rangamati, Sayed Tariqul Hasan memberitahu, sebahagian daripada mangsa sedang nyenyak tidur ketika runtuhan itu berlaku.

Dalam pada itu, enam mangsa termasuk tiga kanak-kanak terkorban akibat tanah runtuh di Bandarban manakala 16 lagi kematian dilaporkan berlaku di daerah Chittagong.

Chittagong sebelum ini merupakan daerah yang paling teruk dilanda tanah runtuh di Bangladesh apabila 126 orang dilaporkan terbunuh akibat bencana itu 10 tahun lalu. – AFP