Mahkamah Wilayah Songkhla di mana kubur-kubur besar yang me­nempatkan mayat pendatang asing etnik Rohingya Islam dan Bangladesh dijumpai, akan bertanggungjawab melaksanakan pendakwaan berkenaan yang dijadualkan berlangsung lewat hari ini.

Jurucakap Pejabat Peguam Negara Thailand (OAG), Wanchai Roujanavong dalam satu sidang akhbar semalam berkata, pihaknya mengeluarkan arahan supaya 72 orang suspek yang didakwa berhubung 16 pertuduhan berkaitan pemerdagangan manusia dihadapkan ke mahkamah.

“Kami tidak akan benarkan orang yang berpengaruh duduk le­bih tinggi daripada undang-undang dan keadilan.

“Antara pertuduhan tersebut adalah terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia dan jenayah antarabangsa, mengambil dan membawa pendatang haram serta melakukan perbuatan berniat jahat,” jelasnya, sambil menambah berpuluh-puluh penjawat awam dari pelbagai peringkat jawatan turut didakwa.

Kata Wanchai lagi, OAG mengutamakan kes berkenaan kerana melibatkan kumpulan individu yang memberi kesan kepada sistem antarabangsa, selain banyak membawa kemusnahan kepada negara selepas angka korban yang dicatat mengejutkan.

“Tiada seorang pun daripada suspek dibenarkan untuk diikat jamin,” tegas Wanchai.

Antara 72 suspek tersebut adalah Leftenan Jeneral, Manas Kongpan, yang didakwa menjadi ketua sindiket pemerdagangan manusia di kawasan selatan negara ini. – AFP