Pertempuran berkenaan yang masih terjadi di beberapa kawasan, menunjukkan konflik di Rakhine semakin memuncak sejak Oktober lalu.

Ketika itu, serangan hampir sama mengorbankan sembilan anggota polis sehingga menyebabkan tentera kerajaan melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran.

Dalam operasi tersebut, tentera didakwa melakukan pembersihan etnik dengan membunuh dan merogol serta memusnahkan kediaman penduduk awam terutamanya etnik Rohingya.

Operasi ‘pembersihan’ itu menyebabkan kira-kira 87,000 etnik Rohingya me­larikan diri ke Bangladesh dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) men­dakwa pasukan keselamatan Myanmar melanggar hak asasi manusia.

Tentera Keselamatan Arakan Rohingya (ARSA) yang sebelum ini dikenali sebagai Harakah al-Yaqin atau Pergerakan Iman, mengaku bertanggungja­wab ke atas insiden awal pagi tadi selain memberi amaran lebih banyak sera­ngan bakal dilancarkan.

Sumber tentera di Ra­khine memberitahu, seramai 1,000 militan dilihat menyertai serangan terbabit, lima kali lebih ramai berbanding pertempuran pada Oktober tahun lalu.

Serangan terbabit berlaku beberapa jam selepas sebuah suruhanjaya dike­tuai oleh bekas ketua pe­mimpin PBB, Kofi Annan mengarahkan Myanmar un­­­­tuk menyelesaikan konflik di Rakhine. – REUTERS