Biro Kaji Cuaca Kebangsaan melaporkan, angin kencang selaju 185 kilometer sejam membadai kawasan utara wilayah Samar yang juga merupakan sebuah pulau pertanian dengan 1.5 juta penduduk awal pagi ini.

Menurut biro tersebut, bagai-manapun setakat ini tiada kecede-raan atau kerosakan dilaporkan.

Bandar Samar merupakan kawasan yang sama terjejas teruk akibat Taufan Haiyan pada 2013 sehingga menyebabkan lebih 7,350 orang terkorban.

Pihak berkuasa Filipina memberi amaran Taufan Melor berpotensi membawa ombak setinggi empat meter yang mampu merosakkan rumah-rumah, manakala hujan lebat di kawasan sekitar 300 kilometer daripada taufan pula dijangka mencetuskan banjir besar dan kejadian tanah runtuh.

“Menurut pemantauan pejabat bencana negara, di wilayah Albay sahaja, hampir 600,000 orang penduduk terpaksa dipindahkan berikutan kebimbangan hujan lebat yang boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh di kawasan lereng bukit berhampiran Gunung Berapi Mayon.

“Kerajaan telah menyediakan lebih 200,000 pek makanan dan peralatan kecemasan yang lain kepada penduduk yang berdepan kejadian ribut,” kata Setiausaha Kebajikan Sosial, Corazon Soliman kepada stesen radio DZMM.

Sebanyak 130,000 orang lagi turut dipindahkan di kawasan berdekatan wilayah Sorsogon, apabila taufan dijangka merentasi kawasan utama di tengah negara ini awal pagi esok, sebelum bergerak menuju ke Laut China Selatan di bahagian barat. – AFP