Tribunnews melaporkan, Ketua Polis Daerah Kalimantan Barat, Didi Haryono berkata, tujuh yang ditangkap merupakan warga negara China manakala dua yang lain adalah warga tempatan.

Katanya, sindiket itu menggunakan modus operandi kahwin secara kontrak untuk melaksanakan kegiatan berkenaan.

“Salah seorang daripada warga tempatan merupakan seorang perempuan,” katanya.

Mengulas lanjut, Didi memberitahu kesemua warganegara China yang terlibat merupakan lelaki yang akan dikahwinkan dengan perempuan tempatan.

Dua rakyat Indonesia yang terlibat didakwa menjadi pemudah cara bagi kegiatan itu.

Dalam siasatan yang dijalankan, kesemua warganegara asing menyatakan kunjungan mereka selama 30 hari di Indonesia adalah untuk bercuti.

“Mereka masih disiasat dan akan terus ditahan sekiranya terdapat bukti kukuh yang mengaitkan mereka dengan jenayah terbabit,” ujarnya.

Tambah Didi lagi, pihaknya kini meneruskan siasatan bagi mengetahui sebab kedatangan lelaki-lelaki terbabit ke negara itu dan pada masa yang sama untuk mengesan pihak di sebalik kegiatan tersebut.- AGENSI