Sekolah-sekolah di bahagian tengah dan selatan negara ini ditutup hari ini manakala kapal terbang terpaksa dilencongkan laluannya berikutan hujan lebat.

Menurut jurucakap pihak pe­ngurusan bencana alam, Pradeep Kodippily, tiga orang maut akibat ditimpa pokok tumbang yang turut menghalang landasan kereta api.

Lima lagi mangsa hilang selepas bot nelayan karam di bahagian selatan pantai negara ini.

“Banyak rumah yang me­ngalami kerosakan terutama di kawasan berbukit di bahagian tengah negara ini manakala bekalan elektrik turut terganggu,” katanya.

Jurucakap Hospital Nasional Colombo berkata, sekurang-kurangnya 15 orang diberi rawatan akibat cedera ekoran kemalangan semasa kejadian ribut itu.

Perkhidmatan Kaji Cuaca Negara meramalkan hujan lebat dan angin kencang dengan kelajuan 70 kilometer sejam akan melanda negara ini.

Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan sekurang-kurangnya dua penerbangan dari India ke Colombo terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala di selatan bandar ini. – AFP