Menurut pihak berkuasa ke­selamatan, angka itu dijangka terus bertambah dalam waktu terdekat.

Seramai 57 orang terbunuh di wilayah Bicol di tenggara Manila manakala 11 lagi maut di Pulau Samar akibat tanah runtuh dan lemas dalam banjir.

Pengarah Pertahanan Awam Bicol, Claudio Yucot berkata, jumlah korban berkemungkinan naik kerana masih banyak kawasan yang terjejas akibat Usman belum dapat dimasuki petugas penyelamat.

“Orang ramai tidak mengambil langkah berjaga-jaga kerana Usman bukan ribut yang kuat untuk dikategorikan sebagai taufan di bawah sistem amaran ribut kerajaan.

“Namun, Usman membawa hujan lebat sehingga menyebabkan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan yang mudah terjejas,” katanya.

Selain itu Yucot membe­ritahu, angka korban yang tinggi juga disebabkan tiada amaran ribut dikeluarkan.

Biarpun Usman kini sudah bergerak meninggalkan Filipina, masih banyak kawasan yang terjejas mengalami hujan lebat, sekali gus menyukarkan operasi mencari serta menyelamat dilakukan.

Pasukan kecemasan juga bertungkus-lumus membersih­kan jalan-jalan utama yang ditenggelami banjir serta tanah runtuh.

Ribuan pelancong turut terkandas di beberapa pelabuhan, lapangan terbang dan terminal bas selepas kesemua perkhid­matan tersebut dihentikan buat sementara waktu sehingga keadaan kembali reda.

Sekurang-kurangnya 17 orang hilang dan lebih 40,000 mangsa kehilangan tempat tinggal di seluruh negara susulan ribut tropika berkenaan.

Secara purata, dianggarkan kira-kira 20 taufan dan ribut melanda Filipina setiap tahun, menyebabkan ratusan penduduk terkorban dan kehidupan jutaan yang lain terjejas.

Taufan Haiyan yang merupakan taufan paling kuat melanda Filipina pada 2013 menyaksikan lebih 7,360 orang terbunuh atau hilang. – AFP/AGENSI