Menteri Perkhidmatan Kecemasan, Vladimir Puchkov memberitahu stesen TV Rusia, jumlah korban itu adalah ‘angka muktamad’ termasuk enam mayat masih di bawah runtuhan.

Kebakaran yang disifatkan sebagai bencana paling dahsyat di Rusia sejak berakhirnya Kesatuan Soviet itu, memusnahkan tingkat atas bangunan yang menempatkan kompleks panggung wayang dan kawasan permainan kanak-kanak.

Perkhidmatan kecemasan Rusia berkata, kebakaran petang semalam itu berjaya dipa­damkan tetapi pasukan penyelamat yang kesemuanya lebih 500 orang, juga berdepan kesukaran untuk sampai ke tingkat atas kerana bumbung bangunan itu runtuh.

Pihak berkuasa sebelum ini berkata, seramai 120 mangsa terselamat dan 47 mangsa yang cedera telah diberikan bantuan perubatan manakala 10 daripadanya masih berada di hospital.

Menurut saksi kejadian, sesetengah mereka tidak mendengar amaran yang dikeluarkan atau mengambil mudah tentangnya sehinggalah api marak dengan cepat.

Ramai kanak-kanak terpisah dengan ibu bapa mereka dan pintu salah sebuah panggung wayang juga dikunci.

Pihak berkuasa juga dilaporkan menubuhkan sebuah pusat khas di sekolah berhampiran pusat beli-belah itu untuk membantu mereka yang mencari ahli keluarga yang hilang.

Rakaman video yang tular me­nunjukkan puluhan mangsa berpusu-pusu menuruni tangga yang dipenuhi asap dan cuba membuka pintu kecemasan yang tersekat.

Satu lagi rakaman menya­yat hati menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki koma selepas cuba menyelamatkan diri de­ngan terjun dari tingkap di tingkat tiga bangunan.

Ibu bapa dan adik pe­rempuannya dilaporkan terkorban dalam kebakaran itu.

Jawatankuasa Siasatan Rusia berkata, pihaknya telah membuka satu siasatan jenayah dan empat orang, termasuk penyewa premis dan ketua syarikat yang me­nguruskan pusat membeli-belah tersebut telah ditahan. – REUTERS