Perkara itu didedahkan menerusi laporan The Global Burden of Cancer yang dibentang ketika Kongres Kanser Sedunia di sini semalam.

Menurut portal presstv.ir yang memetik laporan tersebut, kira-kira 5.5 juta wanita akan menjadi mangsa serangan kan­ser dalam tempoh 14 tahun lagi.

Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding jumlah 3.5 juta kematian daripada 6.7 juta kes yang direkodkan pada 2012.

“Angka-angka ini dijangka meningkat sehingga 9.9 juta kes yang melibatkan 5.5 juta kematian pada 2030 berdasarkan kadar kelahiran dan penuaan dalam populasi penduduk,” jelas laporan susunan oleh American Cancer Society dan syarikat farmaseutikal, Merck itu.

Tambah laporan tersebut, jumlah kematian yang tinggi kebanyakannya melibatkan golo­ngan wanita miskin serta mereka yang tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Antara negara itu termasuk Zimbabwe, Malawi, Kenya, Mongo­lia dan Papua New Gui­nea.

Bagaimanapun, masih ba­nyak kes kanser dilaporkan berlaku di negara berpendapatan tinggi seperti di benua Eropah, Amerika dan Asia walaupun negara-negara itu mempunyai lebih banyak akses untuk mendapatkan rawatan pencegahan.

Laporan sama menyebut, kanser serviks banyak berlaku di negara-negara miskin manakala negara-negara membangun pula lebih terdedah kepada kanser kolorektal (usus besar).

Sementara itu, dua lagi kanser yang kerap menyerang golongan wanita iaitu kanser payudara dan kanser paru-paru, ‘menghantui’ kebanyakan negara di dunia.

Kanser dianggap penyebab kematian kedua tertinggi selepas penyakit berkaitan kardiovaskular dengan seorang daripada setiap tujuh wanita berdepan risiko maut.