Hakim dijangka memutuskan untuk menahan bekas Speaker, Carme Forcadell dan lima yang lain berhubung dakwaan menghasut, pemberontakan dan me­nyalahguna dana awam selepas ahli Parlimen Catalonia mengundi bulan lalu untuk berpisah dari Sepanyol.

Mereka dipercayai mengikuti strategi terancang untuk mengu­mumkan kemerdekaan sebelum pengumuman rasmi Parlimen Catalonia pada 27 Oktober yang memburukkan krisis politik Sepanyol sejak berdekad lalu.

Pengisytiharan itu kemudian dibatalkan oleh Mahkamah Perlembagaan Sepanyol.

Hakim di Madrid minggu lalu mengarahkan lapan pemimpin pemisah direman kerana cuba menghasut kemerdekaan Catalonia.

Bagaimanapun, pemimpin kemerdekaan, Carles Puigdemont dan lima anggota Parlimen Catalonia yang berada di Belgium mengabaikan perintah itu dan menegaskan mereka mahukan satu perbicaraan yang adil.

Dalam perkembangan berkai­tan, penunjuk perasaan semalam menyekat jalan raya, lebuh raya dan laluan kereta api Catalonia bagi menyambut gesaan kesatuan pro-kemerdekaan untuk berhimpun.

Perhimpunan itu dianjurkan kesatuan CSC tetapi kurang mendapat sokongan dari dua buah kesatuan terbesar Sepanyol.

Perhimpunan itu menyaksikan lebuh raya utama termasuk laluan eksport Sepanyol ke Perancis dan Eropah terjejas di 60 buah kawasan mengakibatkan gangguan trafik di Catalonia.

Menurut pihak berkuasa rangkaian kereta api laju yang meng­hubungkan Perancis turut terjejas melibatkan perkhidmatan empat daripada lapan kereta api harian.

Pihak berkuasa Perancis berkata, pintu sempadan kedua-dua negara disekat di bandar Puigcerda, Sepanyol dan beberapa laluan utama terputus sekitar Figueres, utara Barcelona. – AFP