Menurut portal Mail Online, ke­semua kanak-kanak itu yang berusia antara lapan hingga 14 tahun membuat keputusan untuk menyejukkan badan di empangan Lower Manair, selepas tamat satu permainan kriket.

Bagaimanapun hanya seorang daripada mereka yang selamat kerana pandai berenang, manakala yang lain dilaporkan lemas kerana tidak tahu berenang selepas melompat ke dalam empangan itu.

Polis bandar Karimnagar, G Narender berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 8 pagi dan mengenal pasti kesemua kanak-kanak itu adalah pelajar sekolah, terdiri daripada Yachamaneni Pratheesh, Pradyumna, Juvvadi, Suhith Soumith, Joginapalli Shiva Sai dan Danaboina Sai Srijan Reddy.

Pasukan penyelam dikerah ke lokasi tetapi tidak sempat menyelamatkan mangsa.

Pasukan penyelam mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menemui kesemua mayat tersebut.

India kini dilanda cuaca panas melampau yang setakat ini telah meragut lebih 1,400 nyawa sejak bulan lalu.

Pegawai Meteorologi berkata, cuaca panas melampau di negara ini akan berterusan beberapa hari lagi dan penduduk dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah, memakai penutup kepala dan juga mengambil minuman dalam kuantiti yang banyak.