Menurut polis, penyerang itu melakukan tembakan rambang ke arah penonton konsert tersebut.

"Angka kematian akibat kejadian ini telah meningkat. Setakat ini angkanya ialah 58 orang. Jumlah yang cedera ialah 515," kata Sherif Las Vegas, Joseph Lombardo.

Angka kematian itu disifatkan polis sebagai insiden pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah Amerika Syarikat, mengatasi insiden pembunuhan 49 orang di kelab malam Orlando tahun lalu.

Ribuan pengunjung yang panik melarikan diri dari tempat kejadian sehingga ada yang dipijak ketika anggota keselamatan cuba mengesan dan membunuh lelaki bersenjata itu.

Ramai pengunjung konsert yang dalam keadaan terkejut dengan pakaian dibasahi darah kelihatan merayau-rayau di jalanan selepas serangan itu.

Lombardo, memberitahu pemberita suspek adalah seorang lelaki tempatan Las Vegas yang bertindak sendirian dan dipercayai tiada kaitan dengan sebarang kumpulan militan.

Pihak berkuasa juga sedang mencari seorang wanita Asia yang dinamakan sebagai Marilou Danley, iaitu rakan sebilik lelaki berkenaan. - AFP