Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO dilaporkan telah menyenaraikan tapak warisan di Mali dan Uzbekistan termasuk lima lagi tempat tumpuan utama di Libya yang rosak teruk akibat konflik di negara Afrika Utara itu dalam senarai kawasan terancam tahun ini.

Antara kawasan lain yang turut tersenarai adalah Baitulaham di Tebing Barat, bandar purba di Aleppo, Damsyik dan Bosra di Syria serta dua bandar bersejarah di Yemen.

Beberapa lagi taman negara termasuk di Congo, Afrika Tengah, Senegal dan juga Taman Negara Everglades di Florida, Amerika Syarikat (AS) juga disenaraikan kerana berdepan masalah yang hampir merosakkan alam semula jadi di kawasan berkenaan.

Ketika sesi ke-40 di Istanbul pada Julai lalu, UNESCO mengeluarkan senarai baharu tapak warisan yang terancam bagi mempertingkatkan usaha menggerakkan masyarakat antarabangsa untuk melindungi kawasan-kawasan berkenaan.

Semalam, wakil-wakil dari 40 negara meluluskan penubuhan dana untuk melin­dungi tapak warisan dunia terutama di kawasan konflik.

Draf yang dipanggil De­klarasi Abu Dhabi itu ba­gaimanapun tidak menyebut nilai dana yang dicadang­kan namun beberapa perwakilan menyebut bahawa sasarannya adalah sebanyak AS$100 juta (RM444.06 juta).

Menurut UNESCO, kon­flik­ peperangan, gempa bu­­mi, pencemaran, pemburuan ha­ram dan isu perbandaran serta aktiviti pembangunan pelancongan yang tidak terkawal menimbulkan ma­salah besar kepada beberapa kawasan tapak warisan dunia. – AFP