Laman web The Nation memetik kenyataan Timbalan Ketua Polis Wilayah 9, Mejar Jeneral Putthichat Ekachan semalam sebagai berkata, suspek yang masih melarikan diri kini diburu di daerah Songkhla, Satun, dan Ranong.

“Pihak kami turut mengeluarkan empat lagi waran tangkap. Usaha kini giat dijalankan bagi memburu suspek terbabit untuk dibawa ke muka pengadilan,” jelas Putthichat.

Tambah Putthichat, pihaknya semalam membawa 12 orang etnik Rohingya Islam ke Bukit Glass dekat daerah Songkhla, kawasan dipercayai merupakan kem di mana mereka ditahan, selain diarahkan untuk mengecam suspek yang mengawal lokasi tersebut.

Selain itu, polis turut mengambil beberapa keping gambar kem berkenaan bagi membolehkan mereka mengetahui di mana suspek pemerdagangan manusia yang berada dalam tahanan, bekerja.

Dalam perkembangan lain, portal Bangkok Post melaporkan, seorang warga tempatan dipercayai pemilik bot yang baru-baru ini ditemui oleh Tentera Laut Myanmar membawa lebih daripada 200 orang pendatang asing berjaya diberkas.

Suspek yang berusia 53 tahun itu ditahan di Yangon selepas pihak berkuasa Myanmar dan Thailand saling bekerjasama dan bertukar-tukar maklumat.

Bagaimanapun, laporan ber­kenaan tidak mendedahkan bila suspek ditahan.