Sebanyak 94 yang lain turut dilaporkan cedera dalam sera­ngan terbaharu di negara ini.

Presiden Turki, Recep Tayyip­ Erdogan percaya serangan tersebut didalangi kumpulan pengganas Daesh.

Beliau menyifatkan kumpulan militan itu ‘tiada bezanya’ dengan pemimpin pembangkang dalam buangan, Fethullah Gulen yang didakwa mengetuai komplot rampasan kuasa di negara ini pada 15 Julai lalu dan kumpulan pemberontak daripada Parti Pekerja Kurdistan.

“Negara kami dan rakyat kami hanya ingin menyampaikan satu pesanan kepada mereka yang menyerang kami, anda tidak akan berjaya,” kata Erdogan.

Menurut statistik, lebih 200 kematian direkodkan di Turki dalam beberapa serangan sepanjang tahun ini termasuk serangan di Gaziantep, malam semalam, manakala beratus-ratus lagi cedera, kebanyakan mereka orang awam.

Agensi berita Dogan melaporkan, pengantin lelaki dan pe­rempuan yang menjadi sasaran dalam serangan itu berasal dari wilayah Siirt, Kurdistan dan te­lah melarikan diri dari wilayah tersebut ekoran keadaan huru-hara.

Menurut kenyataan daripada Parti Demokratik Rakyat pro-Kurdis, selain dihadiri anggota parti itu, majlis perkahwinan tersebut turut dihadiri ramai wanita dan kanak-kanak.

Erdogan menyifatkan sera­ngan ke atas Gaziantep itu bertujuan memecah-belahkan kumpulan etnik di Turki termasuk Arab, Kurdis dan bangsa Turki sendiri dengan ‘menyebarkan hasutan yang berbaur etnik dan keagamaan’.

Wakil rakyat daripada Parti Pembangunan dan Kehakiman (AKP), Mehmet Erdogan berpendapat, serangan di Gaziantep itu ‘kemungkinan besar’ berpunca daripada serangan pengebom bunuh diri.

Sementara itu, media tempatan melaporkan, pejabat pendakwa raya telah menemukan sehelai jaket yang dipercayai dipakai pengebom bunuh diri itu semasa meletupkan dirinya di tempat kejadian.

Dalam pada itu, Erdogan berkata, penyerang dipercayai seorang kanak-kanak berumur antara 12 hingga 14 tahun. – AFP