Portal berita Nation melaporkan, seorang pendatang asing, Kuramia menyatakan, dia dipaksa membayar tebusan sebanyak 95,000 baht (RM10,256) untuk membebaskan anak saudaranya, Kazim yang ditahan di kem itu, namun pemuda tersebut telah dibunuh.

Kazim merupakan seorang daripada 26 mayat yang ditemukan di kawasan perkuburan besar di Sadao, Songkhla pada minggu lalu.

Kuramia berkata, apabila dia memindahkan wang tersebut, mereka memintanya menambah kira-kira 120,000 baht (RM12,958) lagi.

“Kerana tidak lagi mempunyai wang, saya membuat keputusan untuk membuat laporan polis di wilayah Nakhon Si Thammarat.

“Saya dimaklumkan tindakan saya membuat laporan itu menyebabkan Kazim dibunuh,’’ katanya.

Seorang lagi pendatang asing yang terselamat memberitahu polis bahawa dia melihat seorang anggota sindiket bernama Anwar bersama anak buahnya memukul Kazim sampai mati.

“Saya juga mendengar lebih 500 mangsa dibunuh di pelbagai kem pemerdagangan manusia atau mangsa penculikan di sempadan Thailand-Malaysia.

“Saya dimaklumkan, beribu-ribu pendatang Rohingya di kem berkenaan dijanjikan pekerjaan atau menunggu wang tebusan untuk mereka dibebaskan,’’ katanya yang bercakap melalui seorang penterjemah.

Beliau berkata, dia yang tinggal di Rakhine, Myanmar, ditawarkan pekerjaan di Malaysia enam bulan lalu, namun akhirnya ditempatkan di kem yang diduduki antara 700 hingga 800 pendatang asing termasuk Kazim.

“Emak saya terpaksa menjual tanah milik keluarga untuk membayar wang tebusan, sebab itu saya masih selamat sehingga hari ini,’’ katanya.

Siasatan lanjut berhubung laporan Kuramia dan keterangan saksi lain membawa kepada penemuan kem di Sadao dan kubur besar berkenaan.