Remaja berkenaan merupakan sebahagian antara 120 pendatang yang diperlakukan sedemikian di kawasan perairan negara itu oleh penyeludup bagi mengelak ditahan oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun seramai 27 mangsa yang terselamat ditemukan di kawasan pantai oleh pegawai IOM yang menjalankan rondaan rutin.

“Purata umur penumpang Somalia dan Ethiopia di atas bot itu kelihatan sekitar 16 tahun ke atas. Mereka berharap dapat mema­suki negara-negara Teluk melalui Yemen yang dilanda perang,” IOM dalam satu kenyataan.

“Mereka yang terselamat memberitahu pegawai kami di pantai bahawa penyeludup itu sengaja menolak mereka ke laut selepas melihat beberapa buah bot pihak berkuasa menghampiri kawasan pantai,” jelas Ketua IOM Yemen, Laurent de Boeck.

Menurut de Boeck, mangsa memberitahu pegawai IOM, sejurus selepas kejadian itu, kumpulan penyeludup berkenaan telah kembali ke Somalia untuk mengambil lebih banyak pendatang untuk dibawa ke Yemen me­lalui laluan yang sama.

“Ini mengejutkan dan tidak berperikemanusiaan. Penderitaan pendatang di laluan penghijrahan ini sangat besar. Terlalu banyak anak muda membayar penyeludup dengan harapan palsu tentang masa depan yang lebih baik,” tegas de Boeck.

Walaupun konflik dan keada­an kemanusiaan yang mengerikan, Yemen masih dilihat sebagai pintu gerbang ke negara-negara Teluk atau Eropah menyebabkan beribu-ribu pendatang sanggup berhimpit di dalam bot kecil untuk membuat perjalanan ke sana.

IOM menganggarkan sekitar 55,000 pendatang telah mening­galkan benua Afrika untuk ke Yemen tahun ini dan lebih separuh daripada mereka di bawah umur 18 tahun termasuk golongan wanita.

Menurut portal berita BBC, selain Yemen, terdapat juga pendatang lain yang cuba untuk memasuki Eropah melalui Libya dan Laut Mediterranean.