Menurut pihak berkuasa maritim Sweden, beberapa buah kapal, termasuk sekurang-kurangnya sebuah feri yang mengangkut kira-kira 1,000 penumpang telah berlanggar sesama sendiri ketika melalui bongkah ais gergasi yang sedang bergerak.

Bagaimanapun, syarikat feri Viking Line menegaskan bahawa 'kejadian itu tidak membahayakan penumpang'.

Kira-kira 50 buah kapal komersial dan sebanyak enam buah feri penumpang telah terkandas di dalam ais tersebut semalam, menurut Johny Lindvall daripada unit pemecah ais, Pentadbiran Maritim Sweden kepada AFP kira-kira pada pukul 3.30 petang waktu tempatan.

Dua daripada feri tersebut, termasuk feri penumpang Isabella yang membawa seramai 1,322 penumpang dan krew telah dikeluarkan dari kawasan tersebut.

Menurut Lindvall, feri-feri itu yang membawa penumpang dari Sweden ke Finland telah mengalami masalah tersebut di luar kepulauan Stockholm yang mempunyai lebih 20,000 pulau.

"Kesemua kenderaan itu terperangkap di luar kepulauan itu, di mana terdapat bongkah ais yang sedang bergerak. Sukar untuk melalui kawasan itu," katanya, sambil menambah kata bahawa beliau tidak pernah menyaksikan situasi seperti ini, di mana banyak kapal berlanggar dalam satu masa sejak pertengahan 1980-an.

Sweden mengalami musim sejuk terburuk pada tahun ini, dengan suhu di seluruh negara itu terus berada di bawa paras beku sejak Disember lalu.

Dengan tiupan angin sejuk di Baltik sejak beberapa minggu kebelakangan ini, ia dikatakan sangat mudah menyebabkan kapal-kapal yang melalui kawasan itu terperangkap di dalam ais, menurut Lindvall.

Menurut Viking Line, yang memiliki Isabella dan Amorella, kapal-kapal itu berada sangat hampir antara satu sama lain. - AFP