Jumlah itu sama banyak de­ngan keseluruhan populasi penduduk di Wagga Wagga, Pelabuhan Coffs dan Bundaberg di Australia.

Sesetengah daripadanya merupakan anak luar nikah dan kesemuanya akan memulakan hidup di dalam kem yang kotor serta berpotensi mendapat sakit serta berdepan masalah kekurangan zat makanan.

Para pekerja kesihatan di kem-kem pelarian terbabit berhempas pulas untuk memberikan kehidupan yang baik kepada kesemua bayi berkenaan pada tahun ini, tetapi mereka khuatir bayi-bayi itu akan meninggal dunia sebelum mencecah usia lima tahun.

Seramai 870,000 etnik Rohingya kini tinggal di kem-kem pela­rian dan lima peratus daripadanya merupakan wanita mengandung.

Rachel Cummings dari pertubuhan Save the Children berkata, kebanyakan wanita itu akan melahirkan anak di kem-kem terbabit.

“Susunan kem itu sangat menyedihkan, sungguh menyedihkan. Akses bekalan air bersih adalah terhad, jadi tahap kesihatan bayi baru lahir benar-benar mencabar,” katanya.

Selain itu, Cummings berkata, pihaknya akan menyediakan peralatan kesihatan asas kepada golongan bidan bagi mengurangkan risiko jangkitan serta penya­kit kepada bayi baru lahir.