Portal Bangkok Post melapor­kan, sebanyak lima butir bom buatan sendiri meletup di lima lokasi berasingan di dua wilayah di selatan negara ini mengakibatkan dua anggota polis ce­dera.

Tiga daripada serangan bom itu berlaku di tiga kawasan berasingan di daerah Yaha, wi­la­yah Yala, malam tadi, ba­gaimanapun tiada kecederaan dilaporkan.

Letupan pertama berlaku pada kira-kira pukul 7.30 malam waktu tempatan di hadapan sebuah kedai emas, disusuli le­tupan kedua lima minit kemudian di sebuah kedai alat tulis.

“Letupan ketiga berlaku di sebuah premis menjual akhbar, bertentangan Balai Polis Yala, beberapa minit kemudian,” kata sumber polis, hari ini.

Polis pagi ini, turut menemukan dua objek dipercayai bom yang tidak meletup tidak jauh dari lokasi serangan bom, semalam.

Sebutir bom buatan sendiri itu seberat lima kilogram yang dijadual meletup pada kira-kira pukul 7.45 malam, tetapi gagal, manakala sebutir bom lagi ditemukan di hadapan sebuah kedai emas.

Kedua-dua bom itu kemudiannya dimusnahkan oleh pasukan pemusnah bom.

Sementara itu, dua anggota polis marin cedera dalam satu lagi kejadian letupan di daerah Bacho, Narathiwat, pagi ini.

Ketua Polis Dearah Bacho, Patta Madawa berkata, bom itu meletup pada ki­ra-kira pukul 7.20 pagi waktu tempatan di Lebuh Raya Phetkasem di hadapan sebuah masjid di Ban Sompoi di Mukim Kayo Mati.

Serangan itu menjadikan lapan anggota marin daripada Pasukan Petugas 32 Narathiwat yang meronda di jalan raya dengan menaiki empat buah motosikal sebagai sasaran mereka.

Sepuluh minit selepas serangan itu, satu lagi bom diletupkan di bahu jalan bertentangan dengan serang­an pertama, namun tiada kecederaan dilaporkan.