Menurut Indeks Perhambaan Global 2016 yang dikeluarkan Walk Free Foundation, kebanyakan hamba moden itu dilaporkan dalam bentuk amah, buruh, pekerja tekstil, menjadi pela­rian manakala kanak-kanak pula mempertaruhkan nyawa mereka dengan bekerja di lombong.

Jelas kumpulan hak asasi itu, mereka terpaksa bekerja kerana mahu mencari nafkah atau mendapatkan pendapatan lebih namun kebanyakannya ditipu sehingga dibelenggu hutang ‘keliling pinggang’ dan diseludup ke tempat yang jauh dari rumah mereka.

Bagaimanapun, kesengsaraan yang dialami semakin mendapat perhatian pihak berkuasa de­ngan pentadbir negara memperkenalkan beberapa undang-undang melindungi nasib pekerja selain mendengar keluhan mereka.

Selain kerajaan, peguam hak asasi manusia antarabangsa, Amal Clooney turut tampil mewakili wanita etnik Yazidi di Iraq yang dijadikan sebagai hamba seks oleh kumpulan militan Daesh.

Beliau mahu memastikan kum­pulan militan itu menerima hukuman setimpal atas jenayah yang dilakukan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Sementara itu, India yang me­nyaksikan sekurang-kurang­nya 18 juta penduduk hidup dalam bentuk perhambaan menggubal undang-undang antipemer­dagangan manusia bagi memantapkan perundangan sedia ada terutamanya dalam melindungi mangsa.

Malah, Britain turut mewujudkan dana bernilai jutaan pound bagi mena­ngani masalah perhambaan moden sebagai sebahagian daripada usaha menangani jenayah. – REUTERS