Tuntutan saman yang difailkan pada hari Jumaat lalu di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat (AS), menamakan tujuh bentuk kerosakan telah berlaku pada MH370 ketika nahas itu terjadi.

Antara kerosakan yang dikemukakan ialah kebakaran elektrik, tekanan pada kabin pesawat sehingga menyebabkan kru kapal pengsan, transponder MH370 diberhentikan isyaratnya mengakibatkan pesawat itu terbang tanpa dikesan sebelum terhem­pas apabila kehabisan minyak.

Saman itu difailkan oleh pentadbir khas bagi keluarga mang­sa iaitu Gregory Keith dan menyenaraikan 44 mangsa sebagai plaintif.

MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan mengorbankan 239 penum­pang serta hari ini merupakan ulangtahun ketiga kehilangan pesawat tersebut.

Dalam pada itu, jurucakap Boeing, Tom Kim dalam satu kenya­taan yang dikeluarkan berkata, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut tentang tuntutan mahkamah itu tetapi menyatakan sokongan mereka terhadap mangsa nahas masih berterusan sehingga kini.

Tuntutan saman itu turut menyatakan bahawa usaha penca­rian yang tidak menemui sebarang jawapan sehingga kini menyebabkan kerugian dari aspek ekonomi serta bukan emosi, penderitaan emosi dan fizikal kepada mangsa nahas serta keluarga mereka.

Selain itu, Boeing juga didakwa tidak menggunakan teknologi terbaharu yang wujud pada model Boeing 777 itu bagi memudahkan pesawat tersebut dikesan dan memastikan kokpit perakam suara mudah ditemui.

Sementara itu, tambah tuntutan tersebut, Boeing tahu me­ngenai kelemahan reka bentuk pesawat berkenaan, termasuklah pendawaian rosak berdekatan sumber mudah terbakar seperti bekalan oksigen kecemasan. – AP