Menurut Ahli Parlimen ASEAN Untuk Hak Asasi Manusia (APHR) yang merujuk data daripada kerajaan Bangladesh, seramai 28,300 kanak-kanak Rohingya kehila­ngan ibu atau bapa manakala 7,700 lagi dilaporkan kehilangan kedua-duanya.

Angka tersebut menunjukkan situasi terkini jumlah sebenar etnik Rohingya yang terbunuh dalam krisis tersebut dan lebih tinggi berbanding jumlah 400 orang yang diumumkan kerajaan negara itu.

Pengarah Kajian dan Sokongan APHR, Oren Samet memberitahu portal Time, jumlah itu meliputi kanak-kanak Rohingya yang kini hidup tanpa ibu bapa sama ada terbunuh atau kemungkinan dibunuh dan tidak diketahui lokasi mereka.

“Namun kami tidak dapat memastikan jumlah kanak-kanak yang mempunyai hubungan adik-beradik dan kehilangan ibu bapa yang sama,” katanya.

Walaupun jumlah sebenar etnik berkenaan yang terbunuh dalam krisis yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai kempen ‘penghapusan etnik’ tidak diketahui namun Doctors Without Borders menganggarkan seramai 6,700 Rohingya terbunuh pada bulan pertama sejak tercetus krisis berkenaan.

Pengerusi APHR, Charles Santiago berkata, pihaknya melihat ramai kanak-kanak yang kehila­ngan ibu bapa dibawa ke sini oleh jiran atau orang awam yang menyelamatkan mereka semasa rumah masing-masing dibakar.

Agensi pelarian PBB memaklumkan, sekurang-kurangnya 5,600 kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun kini memikul tanggungjawab sebagai ketua rumah dan penjaga adik-beradik masing-masing.

Sementara itu, Muzium Memorial Holocaust Amerika Syarikat (AS) telah membatalkan anugerah tertinggi, Elie Wiesel yang diberikan kepada pemimpin Myan­mar, Aung San Suu Kyi kerana kegagalan beliau mengutuk dan menghentikan serangan tentera terhadap etnik Rohingya.