Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, pihak kedutaan negara mengambil berat kebajikan setiap rakyat Malaysia yang berada di negara ini, walaupun mereka merupakan seorang banduan.

"Kita memberi perhatian terhadap soal kebajikan setiap rakyat Malaysia di Thailand, walaupun mereka berada di dalam penjara-penjara di seluruh Thailand. Kita tidak pernah melupakan mereka," katanya kepada Bernama di pejabatnya baru-baru ini.

Minggu lepas, beliau dan beberapa kakitangan kedutaan melakukan lawatan terhadap Penjara Pusat Khao Bin di wilayah Ratchaburi, barat Thailand untuk bertemu dengan 16 orang banduan rakyat Malaysia yang sedang ditahan di penjara terbabit.

Dalam kalangan 16 orang banduan rakyat Malaysia itu, individu paling tua berusia 71 tahun manakala yang paling muda berusia 39 tahun.

“Banduan rakyat Malaysia berusia 71 tahun itu dikenakan hukuman penjara 24 tahun dan mula menjalani hukuman itu pada 2006, manakala yang berusia 39 tahun itu pula dijatuhi hukuman penjara 28 tahun pada 2003 ketika beliau berusia 23 tahun,” katanya dan menambah, kedua-dua mereka berkait dengan kesalahan dadah.

Kesemua 16 banduan rakyat Malaysia di Penjara Khao Bin, kira-kira dua jam perjalanan dari Bangkok itu ditahan atas kesalahan dadah.

Menurutnya, tujuan lawatan ke Penjara Khao Bin yang berstatus kawalan maksimum adalah untuk melihat lebih dekat kebajikan rakyat Malaysia itu serta kemudahan dan keadaan penjara, selain mengadakan mesyuarat dengan pegawai penjara Thailand.

“Secara keseluruhannya, mereka menerima layanan yang baik,” katanya dan menambah, ia merupakan lawatan julung kali oleh duta Malaysia ke penjara Khao Bin yang menempatkan pesalah-pesalah tegar terutamanya melibatkan kes dadah.

Dalam dalam pertemuan itu, banduan rakyat Malaysia itu turut menyuarakan permohonan agar tempoh pertemuan dengan keluarga dipanjangkan daripada 20 minit yang diberikan oleh pihak penjara ketika ini serta bantuan perubatan. - BERNAMA