Jurucakap bagi Pihak Berkuasa Pengangkutan Pennsylvania Tenggara, Heather Redfern berkata, nahas itu berlaku kira-kira 12.15 pagi hari ini melibatkan sebuah kereta api berkelajuan tinggi dan sebuah lagi tren yang tidak beroperasi dan diletakkan di Terminal 69th Street di Philadelphia.

“Kesemua 42 penumpang dalam kereta api itu hanya cedera dan tidak membahayakan nyawa mereka.

“Kami sedang menyiasat punca nahas itu,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penumpang bernama Ronnie memberitahu saluran NBC10 bahawa mukanya terhantuk dinding kereta api sebelum dia pitam.

“Darah terdapat di merata-rata tempat.

“Selepas pelanggaran itu, pemandu dan kesemua penumpang kemudiannya bangkit termasuk seorang wanita yang cedera teruk pada mukanya,” kata Ronnie.

Sebanyak 36 orang mengalami cedera ringan apabila dua buah kereta api bawah tanah New York tergelincir pada bulan Jun lalu. – AFP