Laporan stesen televisyen CNN-Turk menyebut, aset tentera tersebut dilaporkan hilang daripada senarai inventori tentera selepas cubaan rampasan kuasa untuk menggulingkan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Jumaat lalu gagal.

“Adakah pembelot mahu me­lakukan satu lagi rampasan kuasa?

“Adakah mereka berjaya? Adakah mereka akan mencuba?” lapor CNN-Turk menerusi wartawannya, Sedar Tuncer.

Susulan laporan yang tersebut, pihak polis diarahkan untuk menembak jatuh helikopter tentera yang dipercayai digunakan oleh kumpulan pembelot sama ada untuk melakukan rampasan kuasa atau melarikan diri.

Bagaimanapun laporan ber­kenaan tidak menjelaskan jenis, keupayaan dan bila helikopter terbabit hilang.

Semalam, lapan pegawai tentera Turki ditahan oleh pihak berkuasa Greece apabila mereka mendarat di negara tersebut de­ngan menaiki sebuah helikopter tentera.

Semua pegawai tentera itu meminta perlindungan suaka di Greece tetapi nasib mereka masih belum diketahui.

Sementara itu, kerajaan Turki memecat kira-kira 8,000 anggota polis di seluruh negara termasuk di Istanbul dan Ankara selepas mereka dipercayai berkomplot dengan pihak tentera untuk me­rampas kuasa.

Selain itu, hampir 9,000 pegawai kerajaan turut dibuang terma­suk seorang gabenor wilayah dan 29 gabenor pekan susulan kegagalan rampasan kuasa tersebut.

Dalam perkembangan lain, Erdogan meminta rakyatnya untuk terus berhimpun di jalanan dan dataran awam sehingga Jumaat ini sebagai tanda sokongan kepada kerajaan dan menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa kali kedua.

Beliau juga sedia menunaikan hasrat rakyat untuk melaksanakan hukuman mati terhadap pihak yang terlibat dalam cubaan rampasan kuasa pada Jumaat lalu ketika usaha memburu suspek yang menyokong plot itu diperluaskan.

Ketika berucap di hadapan ribuan penyokong yang berkumpul di kediamannya di Istanbul semalam, Erdogan berkata, kerajaan mempertimbangkan untuk menggunakan semula hukuman tersebut yang dimansuhkan pada 2004 sebagai usaha menyertai Kesatuan Eropah (EU).

“Kita tidak boleh mengabaikan tuntutan rakyat dan hukuman perlu dilaksanakan dengan segera kepada pihak bertanggungjawab.

“Dalam sistem pemerintahan demokrasi, kerajaan perlu mende­ngar kehendak rakyat,” katanya kepada kumpulan penyokong yang mahu hukuman mati dilaksanakan terhadap pe­rancang rampasan kuasa tersebut. – REUTERS