Menurut kajian terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal per­ubatan terkemuka The Lancet Public Health, jumlah tersebut jauh lebih besar daripada yang dijangkakan sebelum ini.

Berdasarkan kajian tersebut, mereka yang mempunyai tahap plumbum yang tinggi dalam darah adalah 37 peratus lebih cenderung berdepan kematian awal.

Risiko terkena penyakit jantung koronari juga dilaporkan meningkat dua kali ganda.

“Tahap pendedahan plumbum adalah antara faktor utama risiko kematian akibat pe­nyakit kardiovaskular terutama serangan jantung dan strok namun sering tidak diendahkan.

“Penemuan baharu itu mencabar andaian bahawa bahan toksik khusus seperti plumbum mempu­nyai tahap yang selamat,” jelas Bruce Lanphear, seorang Profesor di Universiti Simon Fraser, Kanada yang juga pengarang utama kajian.

Lanphear dan pasukannya mengkaji data kesihatan selama dua dekad melibatkan lebih 14,000 orang dewasa di AS dari 1990 hingga 2011.

Responden mempunyai rekod ujian darah bagi mengukur pendedahan terhadap plumbum serta ujian air kencing untuk mengesan bahan logam kadmium.

Kajian itu turut menyimpulkan hampir 30 peratus daripada semua kematian akibat penyakit kardiovaskular, serangan jantung dan strok sepanjang tempoh tersebut mempunyai kaitan dengan pendedahan terhadap plumbum.

Orang ramai terdedah dengan bahan berkenaan menerusi asap kenderaan, cat serta paip atau be­­r­ada di sekitar kawasan tapak pele­buran dan mengendalikan bateri plumbum.

Pencemaran plumbum juga boleh berlaku di dalam air minuman serta makanan yang disimpan dalam bekas makanan yang disalut dengan bahan berkenaan. – AFP