Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO); Yayasan Walk Free Foundation dan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi menganggarkan seramai 24.9 juta menjadi buruh paksa di kilang-kilang, tapak pembinaan, ladang, bot nelayan termasuk sebagai pekerja seks, manakala 15.4 juta lagi terperangkap dalam perkahwinan paksa.

Nisbah satu daripada empat hamba adalah kanak-kanak dan hampir tiga daripada setiap empat hamba adalah wanita atau kanak-kanak perempuan, dengan perhambaan moden yang paling lazim berlaku di Afrika diikuti oleh Asia dan Pasifik.

“Buruh paksa menghasilkan beberapa makanan yang kita makan dan pakaian yang kita pakai, dan mereka telah membersihkan bangunan di mana kebanyakan kita hidup atau bekerja,” kata kumpulan itu dalam satu laporan yang dikeluarkan hari ini.

Laporan itu juga mendapati le­bih daripada satu pertiga daripada 15 juta mangsa perkahwinan paksa berusia di bawah 18 tahun ketika berkahwin, dan hampir separuh daripadanya adalah di bawah usia 15 tahun.

“Tidak seperti anggaran sebelumnya, penemuan itu termasuk orang yang dipaksa berkahwin, kebanyakannya diambil dari rumah mereka, dirogol dan diperlakukan seperti harta benda yang boleh dibeli, dijual atau diserahkan sebagai pusaka,” katanya.

Laporan tersebut menekankan bahawa jenayah itu semakin berleluasa di semua negara selain menggesa hak buruh, pentadbiran pendatang serta pengecaman mangsa yang lebih baik.

“Memandangkan sebahagian besar perhambaan moden dapat dikesan untuk migrasi, tadbir urus penghijrahan yang lebih baik amat penting untuk mencegah buruh paksa dan melindungi mangsa,” kata mereka.

Pakar buruh paksa ILO, Houtan Homayounpour berkata, sebelum ini, kumpulan tersebut menggunakan data, definisi dan metodologi berbeza namun usaha bersama tersebut berjaya membantu mereka memperoleh jumlah yang lebih tepat.

“Terdapat banyak jumlah yang berlainan mengenai masalah ini selama bertahun-tahun. Akhirnya semua organisasi telah berkumpul dan membangunkan satu anggaran global yang akan menjadi titik rujukan,” kata Homayounpour kepada Yayasan Thomson -Reuters.