Insiden yang sama menyebabkan lapan lagi anggota tentera yang turut serta dalam sesi latihan itu cedera.

Jakarta Post melaporkan, insiden tersebut berlaku apabila meriam buatan China itu dikatakan mengalami kerosakan dan tidak berfungsi seperti biasa.

Ketika kejadian, pasukan pe­tu­gas tindakan cepat milik tentera Indonesia atau PPRC TNI AD dikatakan berada di kawasan Meriam Pertahanan Udara 1/K tidak jauh dari situ.

Difahamkan, sesi latihan ter­babit dilakukan sebagai persedia­an awal menjelang perbarisan ketenteraan di hadapan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi yang dijangka berlangsung esok.

Bagaimanapun, jurucakap ten­tera, Kol. Alfret Denny Tuejeh bingkas menafikan laporan tersebut.

Beliau yang turut mengesahkan insiden itu memberitahu, sesi latihan terbabit hanyalah sesi latihan biasa sahaja.

“Insiden itu berlaku ketika pusingan kedua dalam sesi latihan tersebut dan dipercayai berpunca daripada masalah gear (meriam) yang tidak berfungsi,” katanya.

Tambah Denny Tuejeh, pu­singan pertama untuk sesi latihan itu bagaimanapun berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Ketika ini, kesemua 12 mangsa termasuk empat yang terbunuh itu telah dibawa ke Hospital Besar Natuna atau RSUD Natuna.