PAUL STEVENSON

Paul Stevenson, 36, dari Al­vaston, Derby memberitahu, dia mula mengalami tekanan perasaan akibat kegemukannya itu ketika berusia 19 tahun iaitu selepas ibunya meninggal dunia.

Lapor Derby Telegraph, bagi mengatasi kesedihannya pemuda itu mendakwa akan menempah makanan melalui khidmat penghantaran dan makan sehingga tiga atau empat kali setiap hari.

Antara menu yang menjadi kegemaran Stevenson termasuk pizza, keropok dan roti bulat.

“Saya tidak pernah teringin untuk keluar daripada rumah ketika itu kerana terlalu malu de­ngan badan saya.

“Selain itu, saya juga menghadapi kesukaran untuk membuka pintu hadapan jika berlaku sebarang kecemasan hingga terpaksa mengambil keputusan menjauhkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Menyedari gaya hidupnya itu sangat berisiko, Stevenson akhirnya mengambil keputusan untuk berubah dan terus menghubungi doktor yang berkenaan.

Hingga kini, pemuda yang tidak bekerja itu telah berjaya mengurangkan pengambilan kalori daripada 7,000 kilokalori (kcal) kepada 1,500 kcal setiap hari.

Stevenson juga menjalani pembedahan gastrektomi di Hospital Royal Derby pada tahun 2016 selepas berat badannya menurun kepada 267 kg.

Katanya, pembedahan itu membolehkan dia terus hidup hingga ke hari ini dan menjadi lebih cergas berbanding sebe­lumnya.

“Masalah terbesar yang saya hadapi sekarang hanyalah kulit menggeleber akibat pembedahan itu hingga mengganggu kehidupan harian,” katanya yang berhasrat mengumpul wang sebanyak 15,000 pound (RM82,205) untuk melakukan pembedahan lanjut dan juga membantu mereka yang menghadapi masalah sepertinya.