Menurut laporan Hurriyet Daily News, kertas pendakwaan setebal 571 muka surat yang diserahkan kepada Mahkamah Jenayah Berat semalam itu, termasuk pertu­duhan ke atas suspek berkenaan, mencadangkan jumlah hukuman penjara antara 7,631 hingga 11,750 tahun.

Dakwaan berkenaan termasuk melakukan pembunuhan, cubaan membunuh, cubaan meminda perintah Perlembagaan dan memiliki senjata serta bahan letupan tanpa lesen.

Kertas pendakwaan itu juga menyenaraikan militan IS, Yunus Emre Alagoz dan seorang militan dari Syria yang identitinya dirahsiakan, sebagai pengebom berani mati dalam serangan terbabit.

Seorang ahli keluarga Yunus iaitu Abdurrahman Alagoz, turut terlibat dalam serangan di Suruc pada 20 Julai tahun lalu yang mengorbankan 33 orang pelajar manakala 391 yang lain cedera.

Para pendakwa raya turut memasukkan senarai 36 orang suspek, 14 daripadanya dikenal pasti sebagai bertanggungjawab dalam serangan itu, manakala selebih-nya dituduh menganggotai IS.

Beberapa suspek juga berdepan hukuman penjara seumur hidup kerana melakukan serangan yang mengorbankan lebih 100 nyawa di Ankara dan cubaan meminda perintah Perlembagaan.

Kertas pendakwaan itu juga memutuskan 17 suspek, terma­suk Yunus Durmaz, sebagai dalang serang­an di Suruc dan Ankara serta Halil Ibrahim Durgun.

Yunus Durmaz menjadi buruan polis dengan ‘ganjaran’ sebanyak 4 juta lira (RM5.5 juta) tetapi suspek bertindak meletupkan diri ketika operasi polis.

Perbicaraan bakal dijalankan selepas mahkamah meneliti kertas pendakwaan terbabit.

Serangan bom di Ankara yang juga dilakukan kumpulan militan IS, mengorbankan 103 nyawa, termasuk dua pengebom berani mati.

Serangan berlaku ketika perhimpunan aktivis di ibu negara pada 10 Oktober tahun lalu.