Jurucakap Agensi Bencana, Sutopo Purwo Nugroho berkata, hujan lebat itu turut menenggelamkan beribu-ribu buah rumah.

“Data awal yang diterima menunjukkan kesan banjir dan kejadian tanah runtuh me­ngorbankan 35 nyawa manakala 26 yang lain masih hilang,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pemantauan dari udara menunjukkan ramai penduduk terpaksa menyelamatkan diri dengan naik ke atas bumbung selain banyak harta benda penduduk serta rumah ditenggelami air.

Jelas beliau, beberapa kawasan khususnya di tempat yang padat dengan penduduk dilihat paling terjejas teruk dengan berpuluh-puluh buah rumah dihanyutkan air deras, lumpur serta batu.

Dalam pada itu, ujarnya, lima orang dilaporkan tertimbus selepas rumah mereka ‘ditimpa’ tanah runtuh manakala sembilan yang lain maut ketika cuba membersihkan sebatang jalan daripada runtuhan tanah.

“Secara tiba-tiba berlaku kejadian tanah runtuh yang menyebabkan beberapa kenderaan dan sembilan orang tertimbus.

“Kami sedang berusaha mengeluarkan mangsa-mangsa dalam kejadian tanah runtuh tersebut,” katanya.

Sementara itu beliau memberitahu, pasukan penyelamat menggiatkan operasi mencari dan menyelamat 26 orang yang masih hilang.

Tambahnya, pihak berkuasa juga telah menyediakan tempat perlindungan sementara bagi menempatkan mangsa banjir. – AFP