Menurut laporan bertajuk Outcast and Desperate yang ditulis oleh pegawai UNICEF, Simon Ingram, kira-kira 12,000 kanak-kanak menyertai kem pelarian di Bangladesh setiap ming­gu dan kebanyakan daripada mereka mengalami masalah trauma dengan kekejaman tentera Myanmar yang mereka saksikan.

Jelasnya, satu daripada lima kanak-kanak Ro­hingya di bawah umur lima tahun mengalami masalah kekurangan zat dan amat memerlukan perhatian pe­r­ubatan.

“Keadaan buruk ini dilihat akan berlarutan dan tidak menampakkan penyelesaian dalam tempoh terdekat. Bekalan air bersih dan tandas sangat terhad dengan kem-kem dan penempatan sangat tidak terurus.

“Terdapat risiko yang sangat tinggi terhadap penyebaran penyakit bawaan air, cirit-birit serta kolera. Tidak hairan jika tempat ini ditafsir sebagai ‘neraka dunia’,” katanya.

Dalam pada itu Ingram turut meminta supaya pintu sempadan sentiasa dibuka dan perlindungan diberikan sama rata untuk setiap kanak-kanak Rohingya ter­utama kepada bayi yang dilahirkan di Bangladesh.

“Bayi yang dilahirkan di Bangladesh juga perlu didaftarkan. Kebanyakan etnik Rohingya tidak mempunyai kewarganegaraan di Myanmar dan ramai pelarian tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Tanpa identiti mereka tidak mempunyai peluang untuk bergaul dan diterima oleh mana-mana masyarakat dengan berkesan,” katanya.

Ingram berkata, UNICEF sedang berusaha mendapatkan dana sebanyak AS$76 juta (RM321 juta) di bawah rayuan PBB untuk pelarian Rohingya selama enam bulan, tetapi hanya tujuh peratus sahaja daripada jumlah tersebut yang berjaya diperoleh. – Reuters