Kesemua mayat pendatang itu ditemukan terdampar di padang pasir itu, minggu lalu.

“Sebanyak 34 orang, termasuk lima lelaki, sembilan wanita dan 20 kanak-kanak cuba melintasi gurun itu,” kata Menteri Dalam Negeri Niger dalam satu kenya­taan.

“Mereka mungkin mati akibat kehausan, kes yang sering berlaku, dan mayat mereka ditemukan dekat Assamaka,” kata sumber keselamatan kepada AFP, merujuk kepada pos kawalan di sempadan Niger dan Algeria.

“Mangsa (pelarian itu) telah ditinggalkan oleh penyeludup,” jelas kenyataan tersebut, sambil menambah kata, hanya dua mayat telah dikenal pasti, seorang lelaki dan seorang wanita berusia 26 tahun, kedua-dua dari Niger.

Suhu di gurun itu boleh mencecah sehingga 42 darjah Celsius, dan ribut pasir sering melanda gurun itu.

Beribu-ribu pelarian tiba di Algeria sejak beberapa tahun kebekalangan ini, terutama dari Mali dan Niger, sejak Libya yang sebelum ini menjadi destinasi bagi pelarian dari sub benua Sahara Afrika, dilanda huru hara selepas kematian bekas pe­mimpinnya, Muammar Gaddafi.

Ramai pelarian yang transit di Algeria hendak menuju ke Eropah, namun lebih 7,000 pelarian dari Niger, kebanyakan mereka kanak-kanak dan wanita dihantar pulang pada 2015 sebagai sebahagian perjanjian yang dipersetujui antara Algeria dan Niger.

Satu cadangan yang diutarakan minggu lalu melibatkan penggunaan dana Kesatuan Eropah (EU) untuk menggalakkan pelaburan swasta sehingga 60 bilion euro (RM272 bilion) di negara-negara yang ramai pelarian termasuk di Ethiopia, Niger, Nigeria, Mali dan Senegal, serta Jordan dan Lebanon.

Suruhanjaya Eropah juga mahu mempercepatkan urusan kemasukan pelarian dengan negara-negara Afrika, dan juga dengan Pakistan dan Afghanistan, bagi memudahkan urusan penghantaran balik pendatang yang tidak mendapat status pelarian.

Suruhanjaya Eropah turut mencadangkan pengenalan sistem “blue card” bagi pendatang mahir untuk masuk ke Eropah secara sah, bagi mengurangkan insentif bagi pelarian memasuki benua itu dengan menaiki bot-bot buruk dan membahayakan nyawa mereka. – AFP