Bantahan tersebut mengakibatkan kesesakan teruk dan beberapa kemalangan jalan raya yang mengorbankan seorang penunjuk perasaan.

Sekurang-kurangnya 227 penunjuk perasaan turut cedera ketika pemandu terperangkap da­lam kesesakan cuba mengelak sekatan jalan berikutan tunjuk perasaan yang digelar ves ku­ning, memenuhi jalan raya, pintu masuk terowong dan akses ke la­pangan terbang.

Demonstrasi yang digerakkan menerusi media sosial itu ekoran kenaikan harga minyak dan menggambarkan aduan tentang kemerosotan kuasa berbe­lanja dan ketidakpuasan hati ter­hadap Presiden yang didakwa mengabaikan rakyat bawahan.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Christophe Castaner berkata, pada satu sekatan di tenggara Savoie, seorang pemandu wanita yang panik selepas penunjuk perasaan mengelilingi keretanya bertindak merempuh kumpulan itu, mengakibatkan seorang wanita maut.

Katanya, sekurang-kurang­nya 227 orang cedera di seluruh Pe­ran­cis termasuk enam daripadanya parah dalam demons­trasi yang disertai hampir 283,000 peserta.

Tambahnya, seorang anggota polis turut cedera parah akibat rempuhan itu.

Sebanyak 73 penunjuk pera­saan ditahan pada waktu petang dan beberapa peserta masih ditahan selepas waktu malam.

Polis pada masa sama turut menggunakan gas pemedih ma­ta untuk meleraikan perhimpunan berdekatan terowong bawah tanah Mont-Blanc di Banjaran Alps selain mengusir penunjuk perasaan di Elysee Palace di Pa­ris dan pusat bandar Lyon.

Penunjuk perasaan melaung-laungkan slogan ‘Macron, letak jawatan’ dan beberapa lagi melaungkan slogan ‘kembalikan kua­sa membeli kami’ pada ves yang dipakai mereka.

“Terlalu banyak cukai dilaksanakan di Perancis,” kata seorang penunjuk perasaan, Veronique Lestrade.

Dalam tempoh 18 bulan ber­kuasa, Macron berdepan demonstrasi jalanan ketika beliau melonggarkan peraturan buruh dan memulihkan penyelenggara kereta api SNCF dalam usaha meningkatkan semula ekonomi.

Macron turut dipersenda ahli politik pembangkang sebagai ‘Pre­siden orang kaya’ ekoran lang­kah seperti penghapusan cukai kekayaan mengakibatkan populariti beliau merosot 21 pe­ratus.

Peningkatan cukai ke atas mi­nyak, tembakau serta kenaikan levi kebajikan sosial se­belum potongan cukai lain dikuatkuasakan membuatkan beberapa pengundi merasakan mereka tersepit.

Kenaikan cukai diesel yang di­perkenalkan untuk menggalak­kan penggunaan kenderaan mes­­ra alam sekitar amat dirasakan rakyat selepas harga minyak meningkat bulan ini mengakibatkan penduduk di beberapa wilayah berang.

Kabinet Perancis selain itu me­ngumumkan peruntukan Ra­bu lalu bagi membantu pengguna kende­raan berpendapatan rendah walaupun Macron masih mengekalkan dasar minyak beliau.

Walaupun harga minyak turun bulan ini, penunjuk pera­saan turut mempunyai aduan lain seperti mana ditunjukkan dalam demonstrasi semalam.

“Saya dengan senang hati mengundi Macron pada tahun 2017, tetapi beliau benar-benar mempermainkan kami.

“Tidak ada perbincangan de­ngannya, tidak ada dialog, beliau sombong,” kata Dominique Jouvert, 63, seorang pesara kakita­ngan awam di Lyon. – REUTERS