PressTV memetik jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 14 penduduk awam cedera akibat terkena tembakan peluru hidup yang dilepaskan tentera Israel.

Menurut Ashraf, Zionis sengaja­ menye­rang tiga buah ambulans yang dua daripada­nya milik Bulan Sabit Merah Palestin.

Serangan itu menyaksikan tiga anggota paramedik Palestin dan dua wartawan cedera.

Rangkaian televisyen al-Mayadeen yang berpangkalan di Lebanon melaporkan seorang wakilnya di Gaza, Ahmed Ghanem cedera pada bahagian kaki ketika membuat liputan tunjuk perasaan tersebut.

Setakat ini, hampir 250 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan tentera Israel ketika siri tunjuk perasaan di Semenanjung Gaza sejak 30 Mac tahun lalu, manakala lebih 26,000 yang lain mengalami pelbagai kecederaan.

Dalam pada itu, pakar sejarah Yahudi, Benny Morris memberi gambaran ‘negara Yahudi’ akan lenyap tidak lama lagi.

“Hari ini penduduk Arab lebih­ ramai berban­ding Yahudi di antara Laut Mediterranean dan Jordan. Seluruh wilayah tidak dapat dielak daripada menjadi negara dengan majoriti penduduk Arab.

“Israel masih boleh digelar negara Yahudi namun situasi menduduki wilayah yang tidak mempu­nyai hak, tidak dapat bertahan pada abad ke-21 dalam dunia moden dan sebaik sahaja mereka mendapat hak, negara itu tidak lagi menjadi negara Yahudi,” katanya.

Jelasnya, negara Yahudi tidak akan terbentuk tanpa menyingkirkan kira-kira 700,000 penduduk Palestin dan mereka tidak mempunyai pilihan selain melakukan langkah itu untuk mempunyai sebuah negara sendiri.