Portal Metro.co.uk melaporkan, bapa kepada Izzy, Dave Fletcher, 39, merakamkan gambar anak perempuannya yang ketika itu berusia 23 bulan selepas merasakan detik berkenaan sangat istimewa dan mahu menyimpannya sebagai kena­ngan.

Namun selepas beberapa minggu gambar itu dirakam, pasangan terbabit dikejutkan de­ngan berita menyedihkan apabila simptom keletihan dialami anak perempuannya menjadi petunjuk, Izzy disahkan menghidap leukemia.

Izzy yang kini berusia tiga tahun telah menerima kira-kira 570 dos kemoterapi dan kini menjalani sesi terapi bagi menghalang kanser tersebut daripada berulang.

Fletcher dan isterinya, Vicky, 37, sehubungan itu mengingatkan ibu bapa supaya berwaspada dengan tanda-tanda awal penyakit.

“Selepas Izzy disahkan menghidap leukemia, barulah saya sedar dia sebenarnya menunjukkan tanda-tanda awal keletihan ekoran penyakit yang dihidapinya.

“Anda akan berasa sedikit sentimental apabila melihat gambarnya sebelum dia sakit dan menyedari begitu banyak penderitaan yang dialaminya semasa muda,” kata Fletcher.

Menceritakan pengalamannya Fletcher berkata, mereka membawa anak perempuannya ke Hospital Worcester Ro­yal selepas mendapati ruam di kaki Izzy merebak ke bahagian badan selain suhu badannya semakin meningkat.

Pada hari yang sama juga, Izzy disahkan menghidap leukemia dan memulakan sesi kemoterapi minggu berikutnya.

“Keluarga kami memang ada sejarah menghidap leukemia, salah seorang ahli keluarga kami meninggal dunia akibat penyakit itu lima tahun lalu.

“Kami tidak dapat bayangkan apa yang akan berlaku kepada anak perempuan kami pada masa hadapan,” katanya.