Insiden itu merupakan satu daripada serangan terbesar di ibu negara Syria itu sejak Mac lalu.

Portal Al Jazeera melaporkan, satu daripada pengebom bunuh diri itu meletupkan dirinya di Dataran Tahrir di tengah Damsyik selepas suspek dikepung oleh pihak berkuasa.

Menurut stesen televisyen tempatan, pihak berkuasa berjaya memintas tiga buah kereta yang digunakan pengebom bunuh diri dengan dua daripada kenderaan itu diletupkan di pintu masuk bandar terbabit.

Bagaimanapun penyerang ke­tiga berjaya memasuki Damsyik dan meletupkan dirinya selepas dikepung dan mengakibatkan beberapa kematian serta kecederaan kepada orang ramai.

Agensi berita Syria, SANA yang memetik kenyataan seorang pegawai kanan polis seba­gai berkata, pengganas meletup­kan tiga kenderaan itu secara serentak dengan dua kereta diletupkan di jalan ke lapangan terbang Damsyik di tenggara ibu negara ini.

Ujarnya, sebuah lagi kende­raan diletupkan di timur daerah Sahat Al-Tahrir.

“Letupan bom kereta itu mem­bunuh dan mencederakan be­berapa orang awam dan meng­akibatkan kerosakan di kawasan itu,” kata jurucakap ber­kenaan.

Dalam pada itu, seorang pen­duduk Sahat Al-Tahrir, Mohammad Tinawi berkata, dia mendengar bunyi tembakan kira-kira pukul 6 pagi waktu tempatan disusuli letupan kuat yang memecahkan tingkap rumah di kawasan perumahan tersebut.

Katanya, dia melihat dua sukarelawan Bulan Sabit Merah merawat dua askar yang cedera selain melihat dua kereta yang musnah dan kerosakan kepada pusat pemeriksaan keselamatan.

Damsyik jarang menyaksikan pertempuran besar yang membawa kemusnahan kepada bandar-bandar lain di Syria dalam perang saudara selama enam tahun itu.

Bagaimanapun, banyak penduduk Damsyik terkorban terutamanya dalam insiden yang berlaku di pinggir ibu negara berkenaan. – AFP