Agensi berita Xinhua memetik jurucakap PCG, Kapten Armand Balilo melaporkan, letupan itu berlaku kira-kira pukul 12.30 pagi waktu tempatan di pelabuhan berkenaan, hampir 100 meter dari stesen PCG di mana bot laju mereka berlabuh.

Beliau berkata, dua bot PCG yang baharu rosak teruk manakala sebuah bot tentera musnah sepenuhnya dalam kejadian itu, sambil menambah siasatan polis sedang dijalankan.

Menurut siasatan awal, kumpulan yang tidak diketahui disyaki menggunakan letupan buatan sendiri dalam serangan itu selepas polis menemui kepingan paip polivinil klorida berwarna oren dan serpihan bot yang rosak di lokasi kajadian.

Insiden berkenaan adalah letupan kedua di pelabuhan itu dalam tempoh sebulan selepas kes sama melibatkan dua bot nelayan pada 2 Ogos lalu.

Polis masih menyiasat sama ada kedua-dua kes berkenaan mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Dalam pada itu, satu lagi letupan bom membunuh seorang lelaki dan mencederakan 15 orang dilaporkan berlaku di sebuah kafe internet di selatan Filipina yang disyaki dilakukan oleh kumpulan militan.

Komander Tentera, Brigadier Jeneral Cirilito Sobejana berkata, bandar Isulan yang dihuni majoriti penduduk Kristian di selatan Pulau Mindanao diletakkan di bawah kawalan bagi memburu dalang serangan itu.

Menurut beliau, sehingga kini tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

“Kemungkinan besar insiden ini angkara Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF).

“Tidak ada kumpulan lain yang berani melakukan pengeboman dan tidak ada kumpulan lain yang mempunyai kepentingan untuk meletupkan bom tanpa sebarang alasan,” katanya.

BIFF juga dipersalahkan ekoran letupan Selasa lalu yang mengorbankan tiga nyawa dan mencederakan lebih 30 orang kira-kira 500 meter dari lokasi sama.- Agensi