Menurut kenyataan Institut Geofizik dan Volkanologi Nasional Itali (INGV), letusan gunung berapi itu mengakibatkan gempa bumi sekuat 4.8 pada skala Richter yang berlaku pada pukul 3.19 pagi waktu tempatan pada kedalaman kira-kira satu kilometer.

Pusat gempa terletak beberapa kilometer di utara Catania, bandar kedua terbesar di Sicily, yang tidak mengalami sebarang kerosakan.

Gegaran kuat gempa didahului kira-kira 1,000 gegaran kecil sejak beberapa hari lalu, keba­nyakannya tidak disedari orang ramai, menurut institut itu.

Sekurang-kurangnya 10 daripada 28 mangsa yang cedera, kebanyakannya warga emas, telah dikejarkan ke hospital namun tiada yang berada dalam keadaan serius, lapor agensi berita Ansa.

Secara keseluruhan, kira-kira 600 orang telah dipindahkan dari rumah mereka atas faktor keselamatan.

Situasi terburuk telah dicatat di Zafferana Etnea dan Fleri, sebuah pekan kecil dan perkampungan desa di kawasan metropolitan sekitar Catania, di mana kebanyakan gegaran berlaku.

Selain kedua-dua lokasi, empat lagi perbandaran sekitar Catania adalah antara kawasan paling terjejas akibat bencana itu, menurut Ansa.

Dalam mesej yang disiarkan dalam Facebook dan Twitter, Gabenor Sicily, Nello Musumeci menjelaskan bahawa beliau telah bertemu pihak berkuasa tempatan di semua enam majlis perbandaran yang paling teruk terjejas untuk merancang bantuan selepas bencana.

“Kami telah memantau situasi di hospital, namun pemeriksaan awal menunjukkan tiada kecede­raan serius yang dialami selain beberapa luka lebam,” katanya.

Gunung Etna yang berada pada ketinggian 3,350 meter atas paras laut, terletak di bahagian timur Sicily dan merupakan gunung berapi terbesar serta tertinggi di Eropah, selain antara gunung berapi paling aktif, menurut INGV. – BERNAMA