Mereka yang terlibat terma­suklah bekas ketua angkatan tentera udara Turki, Jeneral Akin Ozturk yang disifatkan oleh media tempatan sebagai perancang cubaan rampasan itu walaupun beliau menafikan tuduhan ber­kenaan.

Menurut agensi berita Ana­dolu, semua mereka ditahan selepas kes itu selesai didengar di mahkamah di Ankara semalam.

Semua tertuduh kini ditahan bagi menunggu tarikh perbi­caraan.

Antara tuduhan yang dihadapi ialah melakukan jenayah terma­suk cuba menyingkirkan kerajaan berperlembagaan, mengetuai ku­m­­­­pulan bersenjata dan cuba membunuh Presiden Turki.

Dalam kenyataannya kepada pihak pendakwa raya, Akin menafikan beliau adalah ketua rampasan tersebut.

“Saya bukan orang yang me­rancang atau mengetuai rampasan kuasa. Saya tidak tahu siapa yang merancang dan meng­arahkannya,’’ katanya yang dipetik oleh Anadolu.

Tindakan Turki terhadap suspek-suspek cubaan rampasan kuasa itu menimbulkan kebimbangan rakan sekutunya dengan pemimpin Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) menggesa Ankara untuk menghormati undang-undang.

Anadolu turut menyiarkan imej Akin dan tertuduh lain berdiri di atas tangga dalam bangunan mahkamah di Ankara sambil merenung ke arah kamera dengan tangan yang digari.

Akin juga kelihatan penat dan cengkung dengan telinga yang berbalut.

Turki menuduh cubaan rampasan kuasa dilakukan oleh anggota tentera yang menyokong musuh Erdogan, Fethullah Gulen.

Sehingga kini Turki menahan sekurang-kurangnya 113 anggota berpangkat jeneral dan laksamana angkatan tentera laut di seluruh negara yang disyaki terlibat dalam cubaan rampasan kuasa, sekali gus memperlihatkan pembersihan besar-besaran dalam pasukan tentera Turki. – AFP